Selamat Datang Ke Segmen Karya & Ceritera di Laman Kausar Kreatif
Segmen baru ini saya wujudkan sebagai pengisian maklumat dan pandangan berkenaan penghasilan karya dan penceritaan tanah air khususnya dan dunia secara amnya, sama ada dalam bentuk penulisan, drama televisyen atau filem (movie).
Selamat membaca dan jangan lupa meninggalkan komen untuk berkongsi pandangan anda :)

PEMBAHARUAN DI KAUSAR KREATIF

Sila berkunjung ke Laman Baru Kausar Kreatif yang telah diintegrasi. KLIK DI SINI

Klik untuk berkunjung

Klik untuk berkunjung
Sebuah karya e-novel interaktif

Thursday, October 8, 2009

Dunia Penulisan, Sastera Malaysia dan Kota Buku


Akhir-akhir ini dunia penulisan kreatif mula menjadi satu bidang yang diceburi ramai, walaupun satu masa dahulu ianya lebih difokuskan kepada mereka dari latarbelakang pengajian sastera atau penulis-penulis terkenal. Mungkin juga di dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, masing-masing mula mencari peluang baru dan dunia penulisan novel atau bukan fiksyen dilihat sebagai satu cabang rezeki yang boleh diterokai. Tambahan pula di zaman IT yang serba canggih ini, pelbagai maklumat dan sumber rujukan tentang apa jua perkara berada di hujung jari, memungkinkan penghasilan karya dari perspektif yang dikehendaki.

Di dalam lambakan karyawan lama dan baru ini, satu soalan masih menjadi tumpuan iaitu sejauh manakah karya-karya kita telah benar-benar bebas daripada pengaruh Barat dan sejauh manakah kita berjaya menghasilkan karya berasakan keunikan pemikiran, budaya, norma dan nilai budaya Malaysia dengan masyarakat berbilang kaum ini.

Jika dibuka lembaran sejarah, semenjak zaman 1930-an, sastera Malaysia banyak dipengaruhi penulisan Balai Pustaka, Indonesia dan kemudiannya dipengaruhi oleh kesusasteraan Barat.

Di dalam artikel Utusan Malaysia bertajuk Sastera Malaysia - Merdekakah dunia kreatif kita?, penulis S.M.Zakir berkata, "Imej Malaysia dan acuan budaya tempatan dilukiskan dengan baik tetapi tidak dalam bidang kritikan. Kritikan kita masih lemah, tidak kuat dan jauh ketinggalan berbanding Barat. Mungkin boleh disimpulkan dalam aspek ini kita masih berkiblatkan teori-teori asing."

Menurut Syamsudin Othman, pensyarah UPM pula, sastera Malaysia dalam aspek penulisan kreatif berjaya menemukan akarnya sendiri walaupun terbina daripada pengaruh asing.

Terdapat penulis generasi muda tanahair yang berjaya menghasilkan karya-karya eksperimental yang terkeluar daripada kepompong struktural. Contohnya adalah 1515 karya Faisal Tehrani yang berani membuat penafsiran semula fakta sejarah dengan gaya historisisme baru yang biasanya digunakan dalam penulisan pascamoden di Barat. Pendekatan yang sama juga digunakan dalam Sangheeta oleh penulis mapan tanahair, Azizi Abdullah.
(Sumber rujukan : "Sastera Malaysia - Merdekakah dunia kreatif kita?", Utusan Malaysia)

Kota Buku Shenzen

Dalam pada itu, rancangan telah dibuat untuk membina Kota Buku Kuala Lumpur (KBKL), yang akan menghimpunkan pihak terbabit dalam industri perbukuan di bawah satu bumbung. Projek yang mendapat peruntukan RM20 juta ini akan bermula akhir tahun ini dan dijangka siap tahun depan.

Antara objektif KBKL adalah:
1. Menyediakan infrastruktur untuk usahawan buku tempatan beroperasi di bawah satu bumbung
2. Pusat pameran dan jualan buku-buku terbitan penerbit tempatan
3. Pusat sehenti untuk pelbagai urusan berkaitan dengan dunia penerbitan termasuk penterjemahan dan rundingan hak
4. Pusat pengumpulan maklumat tentang perkara berkaitan industri buku negara.

Konsep kota buku ini bukanlah satu perkara baru kerana ianya telah wujud di negara-negara luar seperti di Iran (Kompleks Bandaraya Buku Tehran), China (Shenzen Book City) dan Korea Selatan (Paju Book City).

Adalah diharapkan dengan ujudnya KBKL ini, dunia penulisan tanahair akan menjadi lebih mantap dan rancak dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu dan memberikan peluang-peluang baru untuk para penulis dan penerbit tanah air.

Wednesday, October 7, 2009

Dunia Pengkaryaan dan Genre


Dunia penulisan Melayu telah bermula sejak dulu lagi dan dalam abad ke-16 telah lahir penulis-penulis agung seperti Hamzah Fansuri dan Shamsuddin al-Sumatrani dengan karya-karya penulisan agung Melayu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Bustanus Salatin, Hikayat Raja-Raja Pasai, Misa Melayu dan lain-lain lagi. Namun begitu zaman kegemilangan sastera Melayu dan Nusantara seolah-olah lenyap selepas Perang Dunia Kedua.

Kita terpaksa menerima hakikat bahawa Bahasa Melayu bukanlah bahasa global yang digunakan oleh setiap negara di dunia ini sebagai bahasa komunikasi berbanding dengan Bahasa Inggeris, menyebabkan pasaran karya-karya negara terhad kepada negara-negara seperti Brunai dan Singapura. Sudah tentu penulis-penulis kita tidak dapat mencapai kejayaan seperti J.K.Rowling dengan novel bersiri beliau Harry Potter, J.R.R.Tolkien dengan trilogy Lord of the Rings, atau penulis-penulis lain seperti Sidney Sheldon, John Grisham, Stephen King dan Frederick Forsyth

Namun begitu kita masih boleh berbangga dengan adanya penulis-penulis negara yang berbakat seperti Ramli Awang Murshid, Faisal Tehrani, Sharifah Abu Salem, Nisah Haron dan ramai lagi.
Meskipun genre cinta dan romantika mendominasi industri penerbitan tanah air, tetapi tidak bermaksud kita tidak perlu mengkaji atau mencuba genre-genre lain seperti fiksyen sains, sejarah, seram dan komedi.


Novel Cinta dan Romantika

Walaupun terdapat pelbagai jenis genre atau pengkhususan jenis cerita di dalan sesebuah karya, namun kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa novel dengan genre cinta atau romantika lebih mendominasi pasaran sama ada penerbitan tanah air mahupun seluruh dunia. Sebagai contoh, novel-novel romantika keluaran Mills & Boon telalh bertahan semenjak awal kurun ke 20 hingga kini walaupun syarikat tersebut telah bertukar tangan kepada Harlequin Enterprises.

Begitu juga dengan negara kita, novel-novel seperti ini begitu laris di pasaran. Jika anda inginkan kepastian, anda boleh ke kedai buku dan mengira jumlah-jumlah buku dengan tajuk mempunyai perkataan kasih, cinta, hati, rindu dan apa-apa perkataan yang boleh dikaitkan dengan cinta.
Nama-nama penulis Malaysia seperti Anis Ayuni, Norzailina Nordin, Salina Ibrahim dan ramai lagi sudah tentu sinonim dengan novel-novel cinta jika anda peminat novel-genre ini. Mungkin juga genre cinta ini lebih sesuai untuk media bacaan berbanding dengan genre aksi, pengembaraan, seram, fiksyen sains yang lebih banyak mendominasi dunia perfileman.


Fiksyen Sains
Usaha seperti Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi jelas menunjukkan galakan untuk menghasilkan karya dalm genre tersebut. Menurut Prof. Hisahamuddin Jamaluddin selaku Pengarah Penerbit UTM Press, gaya penulisan fiksyen sains dan teknologi yang memaparkan kisah yang mungkin wujud pada masa akan datang mampu menggalakkan rakyat Malaysia berfikiran secara saintifik, kreatif dan penuh inovasi.
Walaupun hakikatnya karya fiksyen sains ini lebih mudah dipaparkan dalam bentuk filem dengan CGI dan efek khas yang lebih mengujakan secara visual, tetapi cabaran iniboleh memberikan kesan yang mendalam sekiranya ia dapat menimbulkan kesedaran tentang kehidupan di zaman akan datang. Sebagai contoh kesan buruk teknologi jika tidak dibendung dan diberi perhatian boleh mengakibatkan kerosakan sosial di masa akan datang, dan boleh dipaparkan oleh penulis dalam bentuk karya yang menimbulkan kesedaran.

Dengan formula dan garapan yang betul, satu-satu isu yang telah selalu diperkatakan atau dikritik boleh diketengahkan dan memberi peluang untuk dilihat dari sudut berbeza. Contohnya adalah filem District 9 yang mengisahkan satu koloni makhluk asing yang terkandas di bumi 20 tahun lalu dan berkembang biak hingga kini sehingga menjadi umpama kawasan setinggan yang sesak dan kotor di sebuah kawasan di Johannesburg Afrika Selatan yang diberi nama Distric 9. Akibatnya koloni in terpaksa dipindahkan ke tempat baru dipanggil District 10. Apa yang menarik tentang cerita ini adalah kritikan sosial yang digambarkan melalui transformasi karakter bernama Wikus yang menjadi makhluk asing akibat cantuman DNA secara tidak sengaja. Apa yang ingin dipaparkan secara simbolik di dalam kisah ini adalah dasar apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan suatu masa dahulu, melalui layanan yang diberi kepada makhluk-makhluk asing tersebut. Apabila Wikus bertukar menjadi makhluk asing tersebut, dia terpaksa menghadapi apa yang dihadapi oleh mereka seperti diburu dan dizalimi. Filem ini asalnya merupakan sebuah filem pendek bertajuk Alive in Joburg arahan pengarah asalnya Neill Blomkamp.


Sejarah

Untuk menghasilkan karya dalam genre ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kajian terperinci tentang peristiwa yang telah berlaku dan digarapkan di dalam bentuk cerita yang meyakinkan. Usaha ini telah dipaparkan dalam 1515 karya Faisal Tehrani.

Walaupun bukan karya berbentuk penulisan kreatif, terdapat beberapa hasil penulisan bukan fiksyen boleh dijadikan contoh dalam usaha melahirkan novel kreatif dalam genre sejarah. Contohnya adalah Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain? yang menimbulkan persoalan sama ada Iskandar Zulkarnain dan Alexande the Great adalah orang yang sama. dan juga Ahlul-Bait (Keluarga) Rasulullah s.a.w & Kesultanan Melayu yang menyusuri susur galur keturunan kesultanan Melayu hingga ke zaman awal Islam.

Cabaran di dalam genre ini adalah amat besar kerana di samping memperkayakan pengetahuan pembaca dengan ilmu tentang sejarah, ia juga memerlukan jalan cerita yang menarik untuk bacaan.


Seram

Genre yang merupakan salah satu daripada genre paling popular dalam penulisan kreatif dunia dan sekiranya anda mengikuti perkembangan novel tulisan Barat, nama Stephen King tentu tidak asing lagi bagi anda. Novel-novel beliau seperti IT, Pet Sematary, Cujo, Salem's Lot, Carrie, dan banyak lagi telah melonjakkan nama beliau dengan jualan keseluruhannya sebanyak 300 juta naskhah.

Keistimewaan genre ini berbanding dengan genre aksi atau fiksyen sains adalah keutamaan membangkitkan suasana suspens, berdebar-debar dan ketegangan seolah-olah pembaca berada di dalam situasi yang digambarkan.

Cabaran dalam menghasilkan novel genre ini adalah mengimbangikan unsur seram yang boleh membawa kesan negatif dan menyelitkan unsur-unsur pengajaran seperti hakikat kejadian makhluk-makhluk halus yang juga merupakan makhluk Tuhan yang masing-masing memiliki kelemahan.

Jika dari perspektif perfileman, penggunaan CGI atau efek visual khas bukanlah faktor utama kejayaan karya genre ini, tetapi boleh memudahkan penonton untuk menghayati cerita dengan lebih berkesan. Namun begitu paparan rupa hantu atau makhluk yang jelas dan menakut mungkin kurang impaknya bagi sesetengah penonton berbanding dengan kehadiran yang disamarkan penuh misteri dan tanda tanya.

Industri filem seram di Malaysia mendapat suntikan baru apabila penapisan untuk filem genre ini telah dilonggarkan dan kita disajikan dengan pelbagai filem seram di pawagam termasuk Congkak, Jangan Pandang Belakang, Pontianak Harum Sundal Malam, Susuk dan banyak lagi.

Kebanyakan filem ini melibatkan situasi yang telah kita kita dengar atau alami dan dipersembahkan sebagai satu karya baru. Satu karya yang menarik untuk diketengahkan adalah Skrip 7707. Sekiranya anda belum menonton filem ini, sebaik-baiknya anda jangan baca tulisan seterusnya kerana akan merosakkan suspens di akhir cerita tersebut.

Skrip 7707 mengisahkan seorang penerbit yang menghadapi masalah untuk mendapatkan satu skrip filem daripada himpunan skrip yang dimilikinya. Dia telah mengadakan perjumpaan dengan 9 peserta yang bersedia untuk berkongsi kisah dengannya, tetapi hanya mengetahui di akhir cerita ini bahawa peserta-peserta ini bukanlah mereka yang sepatutnya ditemuinya. Himpunan 10 cerita dalam satu ini umpama antologi cerpen dengan satu cerita tambahan merangkumi kemelut penerbit tadi mencari satu skrip yang baru untuk filemnya.


Komedi

Walaupun ia bukan satu genre utama, tetapi genre komedi biasanya dikaitkan dengan unsur utama di dalam satu-satu karya. Contohnya sebuah cerita cinta yang dipenuhi unsur humor seperi Cikgu Romantik (1993) atau cerita seram yang dipenuhi unsur yang sama seperti Jangan Pandang Belakang Congkak.

Filem terbaru Setem adalah merupakan sebuah filem aksi yang sarat dengan unsur komedi, dengan efek visual di dalam beberapa babaknya setanding dengan Hollywood. Ia mengisahkan perebutan sekeping stem berharga RM2 juta ringgit di antara tigak pihak iaitu kumpulan dua orang anak yatim, kumpulan Ah Long dan Kumpulan Tosai, dan secara tidak sengaja melibatkan kumpulan warga Indonesia dan juga seorang buta. Filem Setem ini adalah merupakan cubaan ketiga pengarah Kabir Bhatia selepas Cinta dan Sepi

Kemampuan penulis-penulis tanahair menggarapkan pelbagai genre selain romantika adalah diharapkan dapat memancing pembaca-pembaca baru yang saban hari disogokkan dengan filem-filem yang memenuhi naluri visual tetapi kurang dari segi memberi ruang untuk membuat refleksi dan menyelami sesebuah karya itu.

Monday, October 5, 2009

Mencari Keunikan Dalam Karya



Hari demi hari kita disajikan dengan lambakan cerita di televisyen, layar perak dan di dalam karya-karya novel kreatif. Mungkin kita pernah terfikir bahawa karya-karya ini seperti ketandusan idea memaparkan sesuatu yang sudah klisye (cliche) di mana plot dan cerita yag seakan dikitar semula dan ceritanya sudah dapat kita agak pengujungnya. Adakalanya kita seakan memberontak mencari sesuatu yang baru, bukan sekadar tangkap muat atau memnuhi kuota penerbitan, tidak kira dalam bentuk penulisan atau siaran di televisyen dan layar perak.

Tentu ada yang berkata bahawa lebih mudah memberi komen sebagai seorang pemerhati atau penonton, daripada menjadi mereka yang bertungkus lumus menyiapkan sesebuah novel untuk diterbitkan, atau menyiapkan produksi sesebuah drama atau filem. Mungkin benar ianya tidak semudah yang disangkakan, tetapi itu bukan alasan untuk kita meneruskan 'kebiasaan' kita tanpa mencari sesuatu yang unik dan segar untuk dikongsi bersama pembaca atau penonton.

Jika kita lihat karya yang telah berjaya, kita akan dapati tidak ada sesuatu yang jelas untuk kita jadikan panduan dalam menghasilkan karya baru dan segar di samping menjadi tarikan kepada pembaca atau peminat.

Ada di antara karya-karya yang terpaksa melalui jalan yang payah untuk menembusi pasaran walaupun menampilkan kelainan dari apa yang tersedia di dalam bidang tersebut.


J.K.Rowling yang terkenal dengan novel bersiri Harry Potter yang begitu hangat masakini dengan filem di layar perak, terpaksa merentas jalan yang sukar sebelum novelnya dapat diterbitkan. Lapan penerbit telah menolak karya pertamanya dalam tahun 1995 iaitu Harry Potter and the Philosopher's Stone untuk diterbitkan. Karya beliau yang tidak mempunyai sebarang kategori umur yang khusus ini telah diterbitkan akhirnya sebagai buku kanak-kanak 9-11 tahun. Pada awalnya timbul kontroversi yang ditimbulkan segolongan ibu bapa yang menyifatkan karya beliau sebagai mengajar ilmu sihir dan mempunyai kesan buruk kepada kanak-kanak. Beliau juga terpaksa menukar nama pena untuk mengelakkan pembaca lelaki tidak berminat membaca karya hasil seorang wanita. Walaubagaimapun, cabaran yang dilalui akhirnya membuahkan hasil apabila novel bersirinya telah berjaya diterbitkan sebanyak 7 judul, menjadi filem box-office dan telah memenangi beberapa anugerah dan penghargaan dalam bidang penulisan.



Terdapat juga karya yang bermula sebagai projek animasi tahun akhir beberapa orang pelajar dan akhirnya menjadi karakter-karakter yang diterima masyarakat, yang kita kenal sebagai Upin dan Ipin - pasangan kembar yatim-piatu. Perjalanan menghasilkan Upin dan Ipin bermula apabila tiga orang pelajar Universiti Multi Media (MMU) menghasilkan klip animasi pendek bertajuk Misi Mustahak yang memenangi empat anugerah termasuk anugerah MVA dalam tahun 2005. Usaha mereka telah menarik perhatian Burhanuddin Md Radzi dan akhirnya lahirlah Les' Copaque Production yang menghasilkan karakter Upin dan Ipin. Kejayaan siri animasi pendek Upin & Ipin di televisyen dan filem Geng Pengembaraan Bermula memberi suntikan untuk Les' Copaque menghasilkan 42 episod baru siri Upin & Ipin dan filem Upin & Ipin Pengembaraan di Angkasa. Filem yang menelan belanja RM6 juta ini akan dibuat di dalam versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Lebih membanggakan lagi, Disney Channel telah menunjukkan minat untuk membeli 42 episod siri Upin & Ipin ini dan Geng Pengembaraan Bermula untuk tayangan di 17 negara.


Perjalanan ketiga-tiga pelajar MMU ini ada sedikit-sebanyak persamaan dengan filem Tiga budak Melayu yang mengisahkan tiga orang pelajar jurusan perfileman yang berhempas-pulas mengumpul sumber kewangan untuk menjayakan projek tahun akhir pengajian mereka yang juga merupakan filem pertama terbitan mereka. Isu yang hendak diketengahkan adalah kemelut menyatukan modal dan ilmu dalam pembikinan sesebuah karya yang bermutu. Filem yang merupakan hasil kerja 40 pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (FACT) ini diarahkan oleh Mohd. Faizal Lockman Hakim, juga seorang pelajar FACT UiTM.


Di samping menghasilkan karya yang unik dan diterima ramai, penulis juga memikul tanggungjawab besar untuk menyampaikan mesej positif kepada masyarakat dengan cara yang bijak dan berkesan. Jika diteliti isi al-Quran sendiri, kita sebagai manusia disuruh mengkaji rahsia alam ini yang menjadikan kita lebih mengerti akan kekuasaan Yang Maha Pencipta. Ramai ulama Islam terdahulu telah menguasai bidang-bidang seperti sains dan teknologi (Al-Hawarizmi), matematik (Al-Khinzi), fizik (Al-Hazimi), perubatan (Ibnu Sina) dan kaji bintang (Al-Biruni). Sebagai penulis, ini adalah peluang untuk memupuk semangat generasi baru untuk mendalami ilmu-ilmu ini melalui karya penulisan yang memberi perspektif baru kepada pengkajian ilmu-ilmu ini.

Keunikan sesebuah drama atau filem bukan datang dari betapa besar modal sesebuah produksi atau kehebatan ilmu menggarap pelbagai efek visual canggih dan cerita yang hebat. Begitu juga keunikan sesebuah karya penulisan itu bukan terletak pada kehebatan bahasa yang digunakan atau betapa mendalamnya ilmu seseorang dalam ilmu penulisan, walaupun kriteria-kriteria ini banyak membantu. Ianya lahir dari ketajaman fikiran dan keresahan untuk mencari sesuatu yang baru dan berkualiti, di samping kesabaran, ketabahan dan jati diri yang kuat dalam meneruskan pencarian melalui kajian terperinci, bukan sekadar mengisi kekosongan kuota yang ada atau menyiapkan manuskrip untuk diterbitkan, atau juga menyiapkan produksi mengikut dateline yang dikehendaki.

Sunday, October 4, 2009

Isu Masyarakat dan Remaja dalam Karya

Dunia penceritaan adalah sesuatu yang sungguh indah dan istimewa kerana melaluinya kita berpeluang menjadi sebahagian daripada dunia yang tidak pernah kita alami, sama ada suka, duka, senang, payah, pedih atau apa jua perasaan. Tidak kira sama ada ianya cerita yang digarap menjadi sebuah buku untuk dibaca atau drama televisyen dan filem untuk ditonton, semuanya memberi peluang untuk kita berkongsi emosi dengan apa yang dipaparkan di dalam cerita tersebut. Mungkin ada di antara kita yang menganggap bahan bacaan atau tontonan itu sekadar wadah untuk menghabiskan masa, tetapi sebenarnya cerita-cerita ini boleh memperkayakan pengalaman dan ilmu kita tentang sesuatu perkara.

Dari sudut dunia penulisan, kebolehan membawa pembaca ke suatu alam yang lain dari penghidupannya sendiri menerusi pembacaan dan menghayati kehidupan dari sudut yang berlainan dan menyampaikan mesej dengan cara yang tidak disedari oleh pembaca adalah satu anugerah yang diberi kepada para penulis. Setiap manusia diberikan senario kehidupan yang berbeza dan hanya unik kepada dirinya sendiri dan dengan adanya dunia penceritaan, kita berpeluang merasai kehidupan dalam diri orang lain yang digambarkan di dalam cerita tersebut, tidak kira melalui pembacaan buku atau menonton drama dan filem atau sekadar mendengar cerita dari orang lain.

Walaupun hari ini kita dapati banyak mesej yang diselitkan di dalam pelbagai novel kreatif tetapi hakikatnya masih banyak lagi isu dan kemelut kehidupan masyarakat yang belum habis diperkatakan. Banyak lagi peristiwa yang kita hadapi saban hari yang boleh ditimbulkan persoalannya di dalam penulisan untuk menjadi satu pengalaman baru dan panduan kepada para pembaca. Ini termasuk isu keruntuhan akhlak dalam masyarakat akibat gejala-gejala sosial yang menular tanpa dibendung, atau kemelut kehidupan akibat tekanan mental, krisis ekonomi, bencana alam dan banyak lagi.


Jika dilihat dari perspektif drama dan filem pula, isu-isu masyarakat yang sensitif banyak diperkatakan walaupun mengundang pelbagai kontroversi dari masyarakat umumnya, hinggakan kepada pemilihan tajuk juga boleh menjadi bahan kritikan. Sebagai contoh filem-filem seperti Perempuan, Isteri dan ... dan yang terbaru ... Dalam Botol dikritik sebagai sekadar memancing penonton dengan judul yang mengundang andaian dan tanda tanya. Sama ada perlu atau tidak bersifat terus-terang dengan mengisi judul yang penuh, itu adalah satu persoalan yang lain. Hakikatnya isu-isu seperti ini adalah satu cabaran besar untuk dipaparkan dengan mesej dan matlamat tertentu, bukan sekadar mengetengahkan masalah yang kita hadapi masa ini.




Karya-karya Allayarham Yasmin Ahmad seperti Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentime banyak memaparkan isu-isu keluarga, agama, interaksi antara kaum dan cinta dengan cara yang agak berlainan biasa, dan adakalanya mengundang kontroversi. Kelebihan beliau adalah cara yang digunakan dalam mengetengahkan satu-satu isu dengan cara membuatkan kita rasa agak terkejut dan terfikir apakah tindakan kita jika berhadapan dengan situasi yang sama, walaupun teknik yang digunakan mengundang pelbagai kontroversi.


Cabaran seorang karyawan, sama ada di bidang penulisan, drama atau filem adalah untuk memaparkan satu-satu aspek kehidupan yang membolehkan pembaca atau penonton menjadi sebagaian daripada situasi itu dan berfikir bagamana untuk berdepan dengan masalah tersebut sekiranya mereka adalah karakter yang ditonjolkan.


Beberapa contoh yang boleh kita ambil daripada karya-karya terbaru yang ada:


1. Kisah pengorbanan bapa tunggal membesarkan anak perempuan tanpa isterinya


Papadom adalah filem terbaru Afdhlin Shauki yang mengisahkan seorang bapa tunggal yang terpaksa melalui cabaran membesarkan anak perempuan tunggalnya selepas kematian isterinya. Sifat Papa Dom (Saadom) lakonan Afdhlin Shauki yang terlalu risau anaknya akan terjebak dengan aktiviti tidak bermoral menyebabkan anaknya Miasara (lakonan Liyana Jasmay) berasa tidak selesa. Mesej yang ingin dipaparkan adalah mengongkong kebebasan bukanlah cara untuk mengawal anak, sebaliknya perlu dipupuk dengan nilai-nilai kasih sayang yang tinggi.


2. Cabaran perkahwinan usia remaja tanpa restu ibu



Syurga di Hati adalah sebuah novel tulisan Normah Abdullah atau nama penanya Fatin Nabila, yang mengisahkan pergolakan rumahtangga Erin dan Ariff akibat perkahwinan pada usia remaja tanpa mendapat restu ibu Erin. Pembaca dibawa menyelami kegelisahan Erin ketika suaminya hilang berbulan-bulan tanpa berita semasa dia sarat mengandung anak sulung mereka. Kejutan disimpan tentang perkara yang berlaku kepada Ariff.



3. Pejalanan spiritual seorang gadis cina mencari hidayah


Wo Ai Ni Allah adalah hasil tulisan penulis Indonesia Vanny Chrisma W, mengisahkah seorang gadis cina yang mencari jawapan kepada kehampaan jiwa, rohani dan sosial di dalam hidupnya, dan dalam pencarian punca kecelaruan itu, akhirnya dia bertemu dan mengerti siapa Tuhannya

4. Pergolakan hati wanita memilih pasangan hidup


Novel Lentera Mustika adalah hasil tulisan Nisah Haron mengisahkan Profesor Madya Dr. Ainur Mustika yang berada dalam dilema untuk memilih pasangan hidupnya. Meskipun dia sedar hakikat kehidupan wanita hanya lengkap apabila menjadi seorang isteri, tetapi masalah keruntuhan rumahtangga menjadi kerisauannya untuk membuat keputusan.



5. Kehidupan remaja mengharungi masalah keluarga dan kehidupan

La Dolce Amira adalah sebuah drama bersiri dengan skripnya ditulis oleh Datuk Paduka Shuhaimi Baba, yang mengisahkan 5 orang remaja mengharungi pelbagai pergolakan hidup bersama, bermula dari institusi pengajian tinggi hinggalah ke alam pekerjaan. Amira yang merupakan watak utama drama ini, akhirnya berjaya menerbitkan sebuah buku mengisahkan perjalanan hidupnya bersama rakan-rakan yang lain. Kehebatan drama ini adalah kejutan pada penghujungnya berkaitan dengan Vee yang mengalami komplikasi jantung dan memerlukan penderma, dan juga babak di mana Amira dan abangnya Ariff diserang perompak bersenjatakan parang yang digambarkan begitu realistik sekali.


6. Alam percintaan tidak seperti yang diimpikan dengan pelbagai halangan

Lagenda Budak Setan tentu tidak asing lagi kepada peminat hasil tulisan Ahadiat Akashah walaupun telah lebih 20 tahun novel ini berada di dalam dunia penerbitan tanahair. Novel trilogi yang memaparkan watak-watak seperti Kasyah, Ayu, Katrina dan Hisham ini dihidangkan dengan tiga siri bersama Katrina dan Lagenda Berakhir. Kehebatan karya novel ini adalah dalam keupayaannya merangkumkan pelbagai kisah kehidupan seperti dunia remaja, cinta sejati, kesetiaan, pengorbanan, pembalasan dendam dan hakikat bahawa jodoh dan maut adalah ketentuan Tuhan dengan cara yang menyentuh emosi.

Akhir-akhir ini semakin ketara usaha mengadaptasi karya novel menjadi filem seperti Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih, dan Lagenda Budak Setan juga tidak terkecuali. Filem ini dijangka akan ditayangkan pada akhir tahun ini arahan Sharad Sharan yang pernah mengarah filem Diva. Lebih menarik lagi, penulis asalnya Ahadiat Akasyah juga terlibat dalam penulisan skripnya. Mengadaptasi novel menjadi sebuah filem bukanlah perkara yang mudah kerana peminat setia novel tersebut telah serasi dengan jalan cerita asalnya dan cabaran untuk mengisi waktu tayangan selama 2 jam dengan jalan cerita dari novel asal. Bagi yang telah menonton Ayat-ayat Cinta, tentu ada mendengar keluhan pembaca novel tersebut tentang babak yang telah diubah dari jalan cerita asalnya untuk disesuaikan dengan filem. Pada hakikatnya, penampilan karya dalam novel dan layar perak adalah dua perkara yang berbeza dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing.


7. Kehidupan sebagai pasangan kembar siam

2 Hati 1 Jiwa adalah sebuah filem yang bakal ditayangkan di negara kita, diinspirasikan oleh kisah pasangan kembar siam Iran, Ladan dan Laleh Bijani yang meninggal dunia pada 8 Julai 2003 semasa menjalani pembedahan di Singapura untuk memisahkan bahagian yang bercantum pada tubuh mereka. Filem yang diarahkan oleh Profesor Madya A. Razak Mohaideen dan menggandingkan pelakon-pelakon Fauziah Ghous dan Yasmin Hani sebagai watak-watak utamanya ini, akan memberi peluang kepada para penonton untuk berkongsi suka-duka, perjuangan dan cabaran hidup sebagai pasangan kembar siam dengan personaliti dan minat yang berbeza.

Sebenarnya terlalu luas skop perkara-perkara yang boleh diketengahkan di dalam penceritaan sama ada penulisan kreatif, drama atau filem. Kebolehan mengetengahkan karya yang hebat sehingga boleh dijiwai oleh pembaca atau penonton serta dibayangi oleh babak atau dialog tertentu selepas pembacaan atau tontonan menandakan kejayaan kepada karya tersebut. Keupayaan sesebuah karya untuk mengungkai persoalan berkaitan dengan masalah masyarakat dan remaja juga boleh menjadikan karya itu sesuatu yang bermenfaat, bukan sekadar pengisian masa lapang atau hiburan semata-mata.


Saturday, October 3, 2009

Konsep 1 Malaysia dan Karya Tanahair

Kredit foto: Harmony Malaysia oleh Seow Poh Hing (Pemenang Pertandingan Foto The Sun)

Mengekalkan keharmonian Malaysia yang terbina dengan masyarakat berbilang kaum bukanlah sesuatu yang baru dan telah lama diperkatakan dan diusahakan. Penyatuan pelbagai bangsa dengan kepelbagaian kepercayaan, pegangan hidup dan budaya adalah sesuatu yang perlu untuk menjauhkan sikap mementingkan bangsa sendiri tanpa memikirkan kewujudan kita sebagai sebagai satu bangsa di Malaysia, apatah lagi sifat menghina dan memburuk-burukkan satu sama lain. Kejadian seperti Tragedi 13 Mei dan insiden berkaitan pembinaan kuil baru-baru ini adalah perkara yang boleh mengundang perpecahan kita sebagai satu bangsa.

Artikel ini bukanlah satu wadah politik yang memihak kepada mana-mana individu atau badan, tetapi ini adalah hakikat sebenar, bahawa kemerdekaan dan keamanaan yang kita miliki sekarang adalah sesuatu yang kita perlu pelihara tanpa mengira bangsa atau agama kita. Begitu juga dengan konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan baru-baru ini mendukung matlamat yang sama, iaitu keamanan negara tanpa pecah-belah dan benci-membenci sesama kaum, dan bekerjasama mencapai matlamat sebagai satu pasukan yang besar

Jika dilihat dari perspektif ini, tanggungjawab karyawan sama ada di bidang penulisan atau penghasilan drama dan filem terlalu besar. Usaha menyatukan pelbagai bangsa di dalam satu karya patutlah di puji dan telah banyak kita lihat dalam karya-karya yang ada seperti animasi Upin & Ipin yang dihasilkan oleh Les' Copaque Production dan filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad

Karya yang terbaru dan menarik untuk diperkatakan adalah drama Jalan Merdeka arahan Kabir Bhatia yang telah menghasilkan pelbagai drama televisyen seperti Manjalara, Kekasihku seru dan Kasih Suci, dan juga filem seperti Cinta dan Setem.




Drama bersiri 13 episod yang ditayangkan di Astro ini mengisahkan perjalanan tiga orang sahabat dari bangsa-bangsa berlainan iaitu Piramli Bakar, Lee Chow Kit dan Jegathesan. Drama bercorak komedi ringan ini mengajak kita berkongsi pengalaman dengan tiga sahabat ini melalui empat era berlainan iatu zaman 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an.

Kisah tiga sahabat ini berlegar di sekitar pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang empat dekat berlainan tersebut, sama ada di bidang hiburan, sukan, politik, ekonomi dan sosial. Yang pastinya, kajian telah dibuat untuk memaparkan gambaran dan prop yang bersesuaian dengan era-era yang berlainan itu.

Kita diajak untuk mengimbas kembali nostalgia pelbagai peristiwa yang pernah berlaku di negara kita termasuk pelancaran Proton Saga kereta pertama negara, kemenagan negara dalam Piala Thomas tahun 1992, Konsert Allahyarham Sudirman di Chow Kit, era kegemilangan Mokhtar Dahari di bidang bola sepak, pelancaran satelit negara MEASAT 1, dan Sukan Komanwel dalam tahun 1998.

Nama-nama watak utama juga sudah cukup mencuit hati dan mengundang nostalgia. Watak melayu Piramli lakonan Mustapha Kamal adalah bersempena nama seniman agung negara Allahyarham P. Ramlee. Watak cina Lee Chow Kit lakonan Chew Kin Wah adalah sempena nama jalan di Kuala Lumpur dan nama seorang pelombong bijih timah (Lee Chow Kit) iaitu Jalan Chow Kit. Watak india Jegathesan lakonan penghibur komedi yang tidak asing lagi, Sathiya adalah sempena nama olahragawan negara di Sukan Olimpik, Jegathesan.

Sungguhpun menyatukan pelbagai bangsa di dalam satu karya atau produksi adalah satu usaha murni dan patut dipuji, namun begitu matlamat yang lebih besar iaitu untuk menyerapkan nilai-nilai kehidupan pelbagai kaum dengan berlainan pegangan agama dan budaya adalah sukar untuk digambarkan di dalam sesebuah karya. Isu-isu sebegini perlukan perhatian agar bukan sekadar disentuh atau ditimbulkan, tetapi juga menggera ke arah perubahan dan pembaikan. Sifat terbuka untuk mengetahui budaya, pegangan dan pantang-larang sesuatu bangsa akan memudahkan kita mengetahui di sebalik kepercayaan sesuatu kaum dan berusaha untuk bertoleransi tanpa berkompromi dengan nilai-nilai agama dan budaya kita sendiri, dan ini adalah cabaran para karyawan untuk menjayakannya. Pada pendapat saya, kekuatan sesebuah karya adalah dalam membuka persoalan tentang sesuatu isu yang selama ini tidak kita endahkan atau membisu tentangnya, dan mula memberi perhatian untuk mencari penyelesaiannya.

Thursday, October 1, 2009

Mencari Formula Kejayaan Karya-Karya P.Ramlee




Allahyarham seniman Tan Sri P. Ramlee telah meninggalkan kita semenjak 29 Mei 1973, tetapi nama beliau masih segar diingatan kita dan hasil-hasil karya beliau masih setia menjadi wadah tontonan kita di kaca televisyen. Kebolehan beliau yang luar biasa berlakon, melawak, menyanyi, bermain alat muzik, mengarah filem dan menghasilkan lagu ini mengujakan kita dan sukar untuk dicari ganti. Sehingga kini, kina masih tertanya-tanya apakah formula rahsia yang digunakan oleh beliau menyebabkan filem-filem beliau tidak jemu kita tonton berkali-kali walaupun karakter, plot, dialog dan jalan cerita telah kita ketahui. Filem-filem beliau seperti Ibu Mertuaku, filem bersiri Bujang Lapok, Tiga Abdul, Ahmad Albab dan banyak lagi tidak pernah jemu mendapat tumpuan kita apabila disiarkan.

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dilahirkan dengan nama Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan Sekolah Francis Light. Bakat beliau mula mendapat perhatian melalui lagu Azizah dalam tahun 1948, dan telah menarik perhatian pengarah filem B. S. Rajhans. Beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Sebagai seorang karyawan, P. Ramlee adalah seorang pemerhati dan pengkritik sosial yang sentiasa peka dengan pergolakan isu-isu sosial yang berada di sekelilingnya, dan seakan mendokumentasikan pengalaman beliau di dalam bentuk karya untuk rujukan generasi di masa akan datang. Usaha membina Pustaka Peringatan P. Ramlee pada 27 Februari 1984 membolehkan generasi kini dan akan datang untuk melihat dan mengkaji hasil-hasil karya peninggalan beliau.

Sehingga kini, kehebatan beliau menghasilkan karya yang bercorak malar segar (evergreen) masih menjadi tanda tanya dan dikaji oleh ramai pihak. Ini jelas melalui saranan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk diwujudkan Institut Pemikiran P. Ramlee bagi mengkaji karya-karya beliau secara intelektual. Tambahan pula, dengan sinematografi yang seba kekurangan dan penghasilan filem hitam putih berbanding dengan kecanggihan teknologi video dan penerbitan filem zaman ini, karya-karya beliau mempunyai ciri-ciri tidak lekang dimakan zaman.

Karya-karya beliau memaparkan pelbagai unsur termasuk komedi, dramatik dan emosi, yang diadun ke dalam karya dengan jalan cerita yang biasa kita temui dalam karya di zaman ini. Sukar untuk dikenal pasti di mana kekuatan hasil karya beliau, sama ada olahan cerita yang berkesan, para pelakon yang menghidupkan watak, atau ketajaman naluri beliau dalam menghasilkan babak-babak yang ada. Mungkin juga dengan adanya Institut Pemikiran P. Ramlee kelak, segala persoalan ini dapat diungkai dengan lebih saintifik dan terperinci.

Berikut adalah beberapa karya beliau yang boleh kita teliti keunikannya. Sekiranya anda belum menonton dan tidak ingin mengetahui jalan ceritanya, ada tidak digalakkan membaca bahagian artikel di bawah ini. Karya-karya tersebut adalah:

1. Ibu Mertuaku

Ibu Mertuaku (1962) mengisahkan kehidupan seorang pemuzik bernama Kassim Selamat. Kisah bermula dengan kisah cintanya bersama Sabariah seorang gadis dari golongan berada. Perkahwinan mereka tidak mendapat restu ibu Sabariah, Nyonya Mansor menyebabkan dia dihalau dari rumah. Sabariah pulang ke kampung semasa sarat mengandung, tetapi Kassim Selamat menerima berita kematian isterinya semasa bersalin. Kerana terlalu sedih, Kassim Selamat menangis sehingga hilang penglihatan. Kehidupannya berubah selepas menjadi buta dengan menjadi seorang peniup saksofon dengan nama samaran Osman Jailani. Beberapa peristiwa telah berlaku sehingga matanya pulih dan mendapat tahu isterinya masih hidup dan telah dikahwinkan dengan doktor Ismadi yang mengubat matanya. Kerana kemarahan yang tidak tertanggung, Kassim Selamat telah membutakan matanya semula.

Antara perkara yang disentuh dalam kisah ini adalah keegoan ibu mertua Kassim Selamat yang memandang hina kehidupan seorang pemuzik sepertinya sehingga sanggup mengahwinkan anaknya dengan lelaki yang setaraf dengan keluarganya walaupun dari segi agama isterinya masih lagi bersuami.


2. Filem-filem bersiri Bujang Lapok

Bujang Lapok (1957) adalah permulaan kisah tiga sahabat yang masing-masing adalah bujang terlajak. Ramli, Aziz dan Sudin tinggal di sebuah rumah sewa dan berkenalan dengan gadis yang menjadi pasangan kekasih masing-masing. Berbagai peristiwa lucu berlaku sehinggalah akhirnya ketiga-tiga mereka berjaya mendapatkan gadis pilihan masing-masing.

Pendekar Bujang Lapok (1959) mengisahkan tiga sabahat tersebut pergi menuntut ilmu silat dengan Pendekar Mustar yang memiliki seorang anak gadis bernama Cikgu Ros. Pelbagai peristiwa lucu terjadi dalam kisah ini termasuk semasa mereka belajar di sekolah dewasa, belajar silat, dan semasa pergi bertapa untuk menguji keberanian mereka.

Seniman Bujang Lapok (1961) mengisahkan ketiga-tiga sahabat itu mencuba nasib di bidang lakonan untuk menjadi bintang filem. Ujibakat mereka tidak berjalan seperti yang dirancang dan memeningkan kepada pengarahnya, Ahmad Nisfu. Namun begitu mereka telah diterima berlakon untuk adegan komedi.

Ali Baba Bujang Lapok (1961) adalah adaptasi komedi untuk cerita dongeng Ali Baba di mana Aziz memegang watak Ali Baba, Sudin memegang watak Kasim Baba (abang kepada Ali Baba) dan Ramli memegang watak ketua penyamun.

3. Ahmad Albab


Ahmad Albab (1968) mengisahkan seorang gembala kambing bernama Syawal yang berkahwin dengan Mastura, seorang anak hartawan bernama Mashood. Mashood memandang rendah kepada Syawal kerana dua anak perempuannya yang lain dikahwinkan dengan anak orang kaya. Nasib Syawal berubah apabila bertemu dengan jin gua harta karun sehingga dia dapat menyelamatkan dua orang birasnya (menantu-menantu Mashood) kerana merompak demi untuk hidup senang lenang. Pengajaran di akhir cerita ini adalah apabila Syawal mendedahkan kekayaan yang baru diterima dan memberitahu Mashood bahawa harta kekayaan datang dari Allah, bukan dari bapa mertuanya. Ahmad Albab adalah nama anak Syawal dan Mastura yang diambil bersempena pintu kerana dia hanya akan berhenti menangis apabila pintu dibunyikan dengan tangan.



4. Madu Tiga


Madu Tiga (1964) mengisahkan pengalaman Jamil yang beristeri tiga, bermula dari helahnya cuba merahsiakan perkahwinannya dengan Hasnah (isteri kedua) daripada Latifah (isteri pertama) tetapi akhirnya tembelangnya pecah. Tidak serik dengan peristiwa itu, dia berkahwin dengan anak seorang penyewa rumahnya bernama Rohani yang tidak mampu menjelaskan sewa tertunggak. Pelbagai peristiwa lucu berlaku semasa dia cuba membuat helah dengan kedua-dua isteri pertama dan keduanya dengan bantuan pekerjanya Rafee. Ketiga-tiga madu ini bertemu di sebuah kedai emas yang membawa kepada mereka menyedari mereka berkongsi suami yang sama semasa berkunjung ke rumah Rohani. Watak Rohani ditampilkan sebagai seorang wanita yang bijak yang mana akhirnya mereka bertiga membuat keputusan untuk tidak bergaduh sesama sendiri dan sedia berkongsi Jamil sebagai suami mereka.

5. Tiga Abdul


Tiga Abdul (1964) mengisahkan Abdul Wahub, anak bongsu kepada hartawan Ismet Ulam Raja, yang menjadi mangsa abang-abangnya Abdul Wahab dan Abdul Wahib yang gila harta. Mereka menerima pengajaran apabila berkahwin dengan anak-anak saudagar penipu Sadiq Sigaraga yang menggunakan khidmat peguamnya Kasim Patalon. Kerana melanggar perjanjian kedua abang Abdul Wahub jatuh miskin dan dijual sebagai hamba abdi. Anak bongsu Sadiq Sigaraga, Ghasidah memberitahu Abdul Wahub akan rancangan bapanya, dan akhirnya mereka berkahwin dan mengatur rancangan untuk memberi pengajaran kepada bapa Ghasidah. Rancangan berjalan lancar hinggalah akhirnya mereka kembali hidup sebagai keluarga dan berkongsi harta peninggalan Ismet Ulam Raja yang berada di dalam dan luar negara.

Antara pengajaran dari kisah ini adalah sifat tamak yang akhirnya memakan diri yang dipaparkan melalui karakter Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Sadiq Sigaraga.

6. Anakku Sazali


Anakku Sazali (1956) mengisahkan perjalanan hidup Hassan dari kecil sehingga kematian isteri dan menjaga anaknya Sazali. Kerana terlalu kasihkan anaknya, Hassan menurut segala kemahuan Sazali sehingga dia menjadi seorang yang liar tetapi pandai berpura-pura di depan ayahnya. Sazali akhirnya menjadi ketua samseng di Singapura dan cedera ditembak polis semasa satu rompakan. Sazali cuba mendapatkan perlindungan dari ayahnya, tetapi Hassan sedar kesilapan memanjakan Sazali selama ini dan telah menyerahkan Sazali kepada pihak polis.

Mesej yang cuba ditonjolkan adalah batasan memanjakan anak semasa kecil bagi mengelakkannya menjadi musuh masyarakat apabila dewasa.


7. Sarjan Hassan

Sarjan Hassan (1958) mengisahkan Hassan yang hidup yatim piatu dan diambil sebagai anak angkat oleh majikan arwah ayahnya, tetapi menimbulkan rasa cemburu kepada Aziz, anak majikan arwahnya itu. Akibatnya Hassan sering menjadi mangsa buli Aziz dan rakannya Buang. Menjelang Perang Dunia Kedua, Aziz menyertai Rejimen Askar Melayu manakala Hassan dihalang berbuat demikian kerana terpaksa menjaga kebun. Kerana tidak tahan dipanggil pengecut oleh orang kampung, Hassan lari dari rumah dan menyertai Askar Melayu sehingga mendapat pangkat sarjan. Hassan akhirnya bertemu Aziz yang menjadi tawanan perang tentera Jepun, manakala Buang menjadi tali barut Jepun ataupun Kampeitai.

8. Enam Jahanam

Enam Jahanam (1969) mengisahkan pengembaraan Tantari seorang saudagar kain dari Pekan Saroja, memburu enam perompak dari geng Enam Jahanam yang telah merogol dan membunuh isterinya Masmera. Bukti yang ditinggalkan berupa gambar yang diambil secara tidak sengaja semasa gambar Masmera sedang diambil, menjadi panduan Tantari untuk memburu keenam-enam perompak tersebut. Di dalam perjalanan Tantari telah dibantu oleh Damburi yang penuh misteri dan akhirnya telah berjaya menumpaskan kesemua perompak tadi dan berkahwin dengan adik Damburi.


Sebenarnya masih banyak lagi karya-karya P. Ramlee yang menpunyai keunikan tersendiri yang tidak lekang dimakan zaman. Sekiranya keistimewaan karya-karya beliau ini dapat dikaji dan dikenal pasti formula rahsianya, mungkin ianya boleh digunakan untuk industri perfileman kita hari ini yang memiliki teknologi yang canggih dan hebat, tetapi ketandusan faktor X (x factor) yang dimiliki oleh karya-karya hasilan beliau.