Selamat Datang Ke Segmen Karya & Ceritera di Laman Kausar Kreatif
Segmen baru ini saya wujudkan sebagai pengisian maklumat dan pandangan berkenaan penghasilan karya dan penceritaan tanah air khususnya dan dunia secara amnya, sama ada dalam bentuk penulisan, drama televisyen atau filem (movie).
Selamat membaca dan jangan lupa meninggalkan komen untuk berkongsi pandangan anda :)

PEMBAHARUAN DI KAUSAR KREATIF

Sila berkunjung ke Laman Baru Kausar Kreatif yang telah diintegrasi. KLIK DI SINI

Klik untuk berkunjung

Klik untuk berkunjung
Sebuah karya e-novel interaktif

Thursday, October 1, 2009

Mencari Formula Kejayaan Karya-Karya P.Ramlee




Allahyarham seniman Tan Sri P. Ramlee telah meninggalkan kita semenjak 29 Mei 1973, tetapi nama beliau masih segar diingatan kita dan hasil-hasil karya beliau masih setia menjadi wadah tontonan kita di kaca televisyen. Kebolehan beliau yang luar biasa berlakon, melawak, menyanyi, bermain alat muzik, mengarah filem dan menghasilkan lagu ini mengujakan kita dan sukar untuk dicari ganti. Sehingga kini, kina masih tertanya-tanya apakah formula rahsia yang digunakan oleh beliau menyebabkan filem-filem beliau tidak jemu kita tonton berkali-kali walaupun karakter, plot, dialog dan jalan cerita telah kita ketahui. Filem-filem beliau seperti Ibu Mertuaku, filem bersiri Bujang Lapok, Tiga Abdul, Ahmad Albab dan banyak lagi tidak pernah jemu mendapat tumpuan kita apabila disiarkan.

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dilahirkan dengan nama Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan Sekolah Francis Light. Bakat beliau mula mendapat perhatian melalui lagu Azizah dalam tahun 1948, dan telah menarik perhatian pengarah filem B. S. Rajhans. Beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Sebagai seorang karyawan, P. Ramlee adalah seorang pemerhati dan pengkritik sosial yang sentiasa peka dengan pergolakan isu-isu sosial yang berada di sekelilingnya, dan seakan mendokumentasikan pengalaman beliau di dalam bentuk karya untuk rujukan generasi di masa akan datang. Usaha membina Pustaka Peringatan P. Ramlee pada 27 Februari 1984 membolehkan generasi kini dan akan datang untuk melihat dan mengkaji hasil-hasil karya peninggalan beliau.

Sehingga kini, kehebatan beliau menghasilkan karya yang bercorak malar segar (evergreen) masih menjadi tanda tanya dan dikaji oleh ramai pihak. Ini jelas melalui saranan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk diwujudkan Institut Pemikiran P. Ramlee bagi mengkaji karya-karya beliau secara intelektual. Tambahan pula, dengan sinematografi yang seba kekurangan dan penghasilan filem hitam putih berbanding dengan kecanggihan teknologi video dan penerbitan filem zaman ini, karya-karya beliau mempunyai ciri-ciri tidak lekang dimakan zaman.

Karya-karya beliau memaparkan pelbagai unsur termasuk komedi, dramatik dan emosi, yang diadun ke dalam karya dengan jalan cerita yang biasa kita temui dalam karya di zaman ini. Sukar untuk dikenal pasti di mana kekuatan hasil karya beliau, sama ada olahan cerita yang berkesan, para pelakon yang menghidupkan watak, atau ketajaman naluri beliau dalam menghasilkan babak-babak yang ada. Mungkin juga dengan adanya Institut Pemikiran P. Ramlee kelak, segala persoalan ini dapat diungkai dengan lebih saintifik dan terperinci.

Berikut adalah beberapa karya beliau yang boleh kita teliti keunikannya. Sekiranya anda belum menonton dan tidak ingin mengetahui jalan ceritanya, ada tidak digalakkan membaca bahagian artikel di bawah ini. Karya-karya tersebut adalah:

1. Ibu Mertuaku

Ibu Mertuaku (1962) mengisahkan kehidupan seorang pemuzik bernama Kassim Selamat. Kisah bermula dengan kisah cintanya bersama Sabariah seorang gadis dari golongan berada. Perkahwinan mereka tidak mendapat restu ibu Sabariah, Nyonya Mansor menyebabkan dia dihalau dari rumah. Sabariah pulang ke kampung semasa sarat mengandung, tetapi Kassim Selamat menerima berita kematian isterinya semasa bersalin. Kerana terlalu sedih, Kassim Selamat menangis sehingga hilang penglihatan. Kehidupannya berubah selepas menjadi buta dengan menjadi seorang peniup saksofon dengan nama samaran Osman Jailani. Beberapa peristiwa telah berlaku sehingga matanya pulih dan mendapat tahu isterinya masih hidup dan telah dikahwinkan dengan doktor Ismadi yang mengubat matanya. Kerana kemarahan yang tidak tertanggung, Kassim Selamat telah membutakan matanya semula.

Antara perkara yang disentuh dalam kisah ini adalah keegoan ibu mertua Kassim Selamat yang memandang hina kehidupan seorang pemuzik sepertinya sehingga sanggup mengahwinkan anaknya dengan lelaki yang setaraf dengan keluarganya walaupun dari segi agama isterinya masih lagi bersuami.


2. Filem-filem bersiri Bujang Lapok

Bujang Lapok (1957) adalah permulaan kisah tiga sahabat yang masing-masing adalah bujang terlajak. Ramli, Aziz dan Sudin tinggal di sebuah rumah sewa dan berkenalan dengan gadis yang menjadi pasangan kekasih masing-masing. Berbagai peristiwa lucu berlaku sehinggalah akhirnya ketiga-tiga mereka berjaya mendapatkan gadis pilihan masing-masing.

Pendekar Bujang Lapok (1959) mengisahkan tiga sabahat tersebut pergi menuntut ilmu silat dengan Pendekar Mustar yang memiliki seorang anak gadis bernama Cikgu Ros. Pelbagai peristiwa lucu terjadi dalam kisah ini termasuk semasa mereka belajar di sekolah dewasa, belajar silat, dan semasa pergi bertapa untuk menguji keberanian mereka.

Seniman Bujang Lapok (1961) mengisahkan ketiga-tiga sahabat itu mencuba nasib di bidang lakonan untuk menjadi bintang filem. Ujibakat mereka tidak berjalan seperti yang dirancang dan memeningkan kepada pengarahnya, Ahmad Nisfu. Namun begitu mereka telah diterima berlakon untuk adegan komedi.

Ali Baba Bujang Lapok (1961) adalah adaptasi komedi untuk cerita dongeng Ali Baba di mana Aziz memegang watak Ali Baba, Sudin memegang watak Kasim Baba (abang kepada Ali Baba) dan Ramli memegang watak ketua penyamun.

3. Ahmad Albab


Ahmad Albab (1968) mengisahkan seorang gembala kambing bernama Syawal yang berkahwin dengan Mastura, seorang anak hartawan bernama Mashood. Mashood memandang rendah kepada Syawal kerana dua anak perempuannya yang lain dikahwinkan dengan anak orang kaya. Nasib Syawal berubah apabila bertemu dengan jin gua harta karun sehingga dia dapat menyelamatkan dua orang birasnya (menantu-menantu Mashood) kerana merompak demi untuk hidup senang lenang. Pengajaran di akhir cerita ini adalah apabila Syawal mendedahkan kekayaan yang baru diterima dan memberitahu Mashood bahawa harta kekayaan datang dari Allah, bukan dari bapa mertuanya. Ahmad Albab adalah nama anak Syawal dan Mastura yang diambil bersempena pintu kerana dia hanya akan berhenti menangis apabila pintu dibunyikan dengan tangan.



4. Madu Tiga


Madu Tiga (1964) mengisahkan pengalaman Jamil yang beristeri tiga, bermula dari helahnya cuba merahsiakan perkahwinannya dengan Hasnah (isteri kedua) daripada Latifah (isteri pertama) tetapi akhirnya tembelangnya pecah. Tidak serik dengan peristiwa itu, dia berkahwin dengan anak seorang penyewa rumahnya bernama Rohani yang tidak mampu menjelaskan sewa tertunggak. Pelbagai peristiwa lucu berlaku semasa dia cuba membuat helah dengan kedua-dua isteri pertama dan keduanya dengan bantuan pekerjanya Rafee. Ketiga-tiga madu ini bertemu di sebuah kedai emas yang membawa kepada mereka menyedari mereka berkongsi suami yang sama semasa berkunjung ke rumah Rohani. Watak Rohani ditampilkan sebagai seorang wanita yang bijak yang mana akhirnya mereka bertiga membuat keputusan untuk tidak bergaduh sesama sendiri dan sedia berkongsi Jamil sebagai suami mereka.

5. Tiga Abdul


Tiga Abdul (1964) mengisahkan Abdul Wahub, anak bongsu kepada hartawan Ismet Ulam Raja, yang menjadi mangsa abang-abangnya Abdul Wahab dan Abdul Wahib yang gila harta. Mereka menerima pengajaran apabila berkahwin dengan anak-anak saudagar penipu Sadiq Sigaraga yang menggunakan khidmat peguamnya Kasim Patalon. Kerana melanggar perjanjian kedua abang Abdul Wahub jatuh miskin dan dijual sebagai hamba abdi. Anak bongsu Sadiq Sigaraga, Ghasidah memberitahu Abdul Wahub akan rancangan bapanya, dan akhirnya mereka berkahwin dan mengatur rancangan untuk memberi pengajaran kepada bapa Ghasidah. Rancangan berjalan lancar hinggalah akhirnya mereka kembali hidup sebagai keluarga dan berkongsi harta peninggalan Ismet Ulam Raja yang berada di dalam dan luar negara.

Antara pengajaran dari kisah ini adalah sifat tamak yang akhirnya memakan diri yang dipaparkan melalui karakter Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Sadiq Sigaraga.

6. Anakku Sazali


Anakku Sazali (1956) mengisahkan perjalanan hidup Hassan dari kecil sehingga kematian isteri dan menjaga anaknya Sazali. Kerana terlalu kasihkan anaknya, Hassan menurut segala kemahuan Sazali sehingga dia menjadi seorang yang liar tetapi pandai berpura-pura di depan ayahnya. Sazali akhirnya menjadi ketua samseng di Singapura dan cedera ditembak polis semasa satu rompakan. Sazali cuba mendapatkan perlindungan dari ayahnya, tetapi Hassan sedar kesilapan memanjakan Sazali selama ini dan telah menyerahkan Sazali kepada pihak polis.

Mesej yang cuba ditonjolkan adalah batasan memanjakan anak semasa kecil bagi mengelakkannya menjadi musuh masyarakat apabila dewasa.


7. Sarjan Hassan

Sarjan Hassan (1958) mengisahkan Hassan yang hidup yatim piatu dan diambil sebagai anak angkat oleh majikan arwah ayahnya, tetapi menimbulkan rasa cemburu kepada Aziz, anak majikan arwahnya itu. Akibatnya Hassan sering menjadi mangsa buli Aziz dan rakannya Buang. Menjelang Perang Dunia Kedua, Aziz menyertai Rejimen Askar Melayu manakala Hassan dihalang berbuat demikian kerana terpaksa menjaga kebun. Kerana tidak tahan dipanggil pengecut oleh orang kampung, Hassan lari dari rumah dan menyertai Askar Melayu sehingga mendapat pangkat sarjan. Hassan akhirnya bertemu Aziz yang menjadi tawanan perang tentera Jepun, manakala Buang menjadi tali barut Jepun ataupun Kampeitai.

8. Enam Jahanam

Enam Jahanam (1969) mengisahkan pengembaraan Tantari seorang saudagar kain dari Pekan Saroja, memburu enam perompak dari geng Enam Jahanam yang telah merogol dan membunuh isterinya Masmera. Bukti yang ditinggalkan berupa gambar yang diambil secara tidak sengaja semasa gambar Masmera sedang diambil, menjadi panduan Tantari untuk memburu keenam-enam perompak tersebut. Di dalam perjalanan Tantari telah dibantu oleh Damburi yang penuh misteri dan akhirnya telah berjaya menumpaskan kesemua perompak tadi dan berkahwin dengan adik Damburi.


Sebenarnya masih banyak lagi karya-karya P. Ramlee yang menpunyai keunikan tersendiri yang tidak lekang dimakan zaman. Sekiranya keistimewaan karya-karya beliau ini dapat dikaji dan dikenal pasti formula rahsianya, mungkin ianya boleh digunakan untuk industri perfileman kita hari ini yang memiliki teknologi yang canggih dan hebat, tetapi ketandusan faktor X (x factor) yang dimiliki oleh karya-karya hasilan beliau.

No comments:

Post a Comment