Selamat Datang Ke Segmen Karya & Ceritera di Laman Kausar Kreatif
Segmen baru ini saya wujudkan sebagai pengisian maklumat dan pandangan berkenaan penghasilan karya dan penceritaan tanah air khususnya dan dunia secara amnya, sama ada dalam bentuk penulisan, drama televisyen atau filem (movie).
Selamat membaca dan jangan lupa meninggalkan komen untuk berkongsi pandangan anda :)

PEMBAHARUAN DI KAUSAR KREATIF

Sila berkunjung ke Laman Baru Kausar Kreatif yang telah diintegrasi. KLIK DI SINI

Klik untuk berkunjung

Klik untuk berkunjung
Sebuah karya e-novel interaktif

Saturday, October 3, 2009

Konsep 1 Malaysia dan Karya Tanahair

Kredit foto: Harmony Malaysia oleh Seow Poh Hing (Pemenang Pertandingan Foto The Sun)

Mengekalkan keharmonian Malaysia yang terbina dengan masyarakat berbilang kaum bukanlah sesuatu yang baru dan telah lama diperkatakan dan diusahakan. Penyatuan pelbagai bangsa dengan kepelbagaian kepercayaan, pegangan hidup dan budaya adalah sesuatu yang perlu untuk menjauhkan sikap mementingkan bangsa sendiri tanpa memikirkan kewujudan kita sebagai sebagai satu bangsa di Malaysia, apatah lagi sifat menghina dan memburuk-burukkan satu sama lain. Kejadian seperti Tragedi 13 Mei dan insiden berkaitan pembinaan kuil baru-baru ini adalah perkara yang boleh mengundang perpecahan kita sebagai satu bangsa.

Artikel ini bukanlah satu wadah politik yang memihak kepada mana-mana individu atau badan, tetapi ini adalah hakikat sebenar, bahawa kemerdekaan dan keamanaan yang kita miliki sekarang adalah sesuatu yang kita perlu pelihara tanpa mengira bangsa atau agama kita. Begitu juga dengan konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan baru-baru ini mendukung matlamat yang sama, iaitu keamanan negara tanpa pecah-belah dan benci-membenci sesama kaum, dan bekerjasama mencapai matlamat sebagai satu pasukan yang besar

Jika dilihat dari perspektif ini, tanggungjawab karyawan sama ada di bidang penulisan atau penghasilan drama dan filem terlalu besar. Usaha menyatukan pelbagai bangsa di dalam satu karya patutlah di puji dan telah banyak kita lihat dalam karya-karya yang ada seperti animasi Upin & Ipin yang dihasilkan oleh Les' Copaque Production dan filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad

Karya yang terbaru dan menarik untuk diperkatakan adalah drama Jalan Merdeka arahan Kabir Bhatia yang telah menghasilkan pelbagai drama televisyen seperti Manjalara, Kekasihku seru dan Kasih Suci, dan juga filem seperti Cinta dan Setem.




Drama bersiri 13 episod yang ditayangkan di Astro ini mengisahkan perjalanan tiga orang sahabat dari bangsa-bangsa berlainan iaitu Piramli Bakar, Lee Chow Kit dan Jegathesan. Drama bercorak komedi ringan ini mengajak kita berkongsi pengalaman dengan tiga sahabat ini melalui empat era berlainan iatu zaman 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an.

Kisah tiga sahabat ini berlegar di sekitar pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang empat dekat berlainan tersebut, sama ada di bidang hiburan, sukan, politik, ekonomi dan sosial. Yang pastinya, kajian telah dibuat untuk memaparkan gambaran dan prop yang bersesuaian dengan era-era yang berlainan itu.

Kita diajak untuk mengimbas kembali nostalgia pelbagai peristiwa yang pernah berlaku di negara kita termasuk pelancaran Proton Saga kereta pertama negara, kemenagan negara dalam Piala Thomas tahun 1992, Konsert Allahyarham Sudirman di Chow Kit, era kegemilangan Mokhtar Dahari di bidang bola sepak, pelancaran satelit negara MEASAT 1, dan Sukan Komanwel dalam tahun 1998.

Nama-nama watak utama juga sudah cukup mencuit hati dan mengundang nostalgia. Watak melayu Piramli lakonan Mustapha Kamal adalah bersempena nama seniman agung negara Allahyarham P. Ramlee. Watak cina Lee Chow Kit lakonan Chew Kin Wah adalah sempena nama jalan di Kuala Lumpur dan nama seorang pelombong bijih timah (Lee Chow Kit) iaitu Jalan Chow Kit. Watak india Jegathesan lakonan penghibur komedi yang tidak asing lagi, Sathiya adalah sempena nama olahragawan negara di Sukan Olimpik, Jegathesan.

Sungguhpun menyatukan pelbagai bangsa di dalam satu karya atau produksi adalah satu usaha murni dan patut dipuji, namun begitu matlamat yang lebih besar iaitu untuk menyerapkan nilai-nilai kehidupan pelbagai kaum dengan berlainan pegangan agama dan budaya adalah sukar untuk digambarkan di dalam sesebuah karya. Isu-isu sebegini perlukan perhatian agar bukan sekadar disentuh atau ditimbulkan, tetapi juga menggera ke arah perubahan dan pembaikan. Sifat terbuka untuk mengetahui budaya, pegangan dan pantang-larang sesuatu bangsa akan memudahkan kita mengetahui di sebalik kepercayaan sesuatu kaum dan berusaha untuk bertoleransi tanpa berkompromi dengan nilai-nilai agama dan budaya kita sendiri, dan ini adalah cabaran para karyawan untuk menjayakannya. Pada pendapat saya, kekuatan sesebuah karya adalah dalam membuka persoalan tentang sesuatu isu yang selama ini tidak kita endahkan atau membisu tentangnya, dan mula memberi perhatian untuk mencari penyelesaiannya.

No comments:

Post a Comment